KUCHING, 7 JULAI 2025 - Yang Amat Berhormat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menghadiri Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 (Mesyuarat Khas) pada Isnin.
Mesyuarat khas berlangsung satu hari ini bertujuan bagi membentangkan satu Rang Undang-Undang Kerajaan iaitu Dewan Undangan Negeri (Composition of Membership) Bill, 2025.
Rang undang-undang tersebut dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.15 Asajaya, Yang Berhormat Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah.
Terdahulu, mesyuarat yang bermula pada jam 9 pagi dimulakan dengan bacaan doa dan seterusnya pemasyuran daripada Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Asfia bin Awang Nasar.
DUN Sarawak juga turut bersama-sama membacakan doa Al-Fatihah dan bertafakur selama satu minit bagi memperingati pemergian isteri kepada Premier Sarawak, Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma'ani Tun Tuanku Haji Bujang.
Hadir sama pada mesyuarat khas kali ini Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian.